MENJADI FINALIS Pertandingan Akhir Juara Carta Lagu Dusun (JLD) anjuran Sabah VFM (RTM) yang akan berlangsung di Dewan Masyakarat Tambunan, Sabtu ini disifatkan sebagai peluang terbaik oleh kumpulan Papier Mache untuk memperkenalkan lagi kumpulan itu.
Menjadi satu-satunya peserta berkumpulan yang berjaya setakat ini bersaing di peringkat final dalam pertandingan itu, Papier Mache memberitahu pengalaman sebagai sebuah kumpulan sekian lama menjadi sandaran bagi mereka untuk memberikan yang terbaik.
Dianggotai oleh Cyril Johnny sebagai penyanyi, Gilbert Lajim dan Ferdinand Seniong (gitaris), Ezbon P. Godomon (Basist), Adriano Francis (drummer), Lawrence Sani (keyboard), James Juanis (violinist) sementara itu Jovinia J. Lajim dan Roslina Imran sebagai penyanyi latar, ada antara ahli Papier Mache yang bersama-sama selama hampir 20 tahun.
Mereka yang berasal dari daerah Tamparuli telah berlatih bermain muzik bersama-sama sejak zaman kanak-kanak dan ahli terbaru mereka Lawrence dari Ranau, juga menyertai mereka lebih 10 tahun lalu.
Sebelum ini, selain daripada merakamkan lagu dalam album, Papier Mache juga pernah memenangi beberapa pertandingan berkumpulan di samping dijemput membuat persembahan di pelbagai majlis serta keraian anjuran jabatan, agensi mahupun individu.
Papier Mache juga terlibat mengiringi lagu dalam album beberapa artis tempatan sebagai pemuzik jemputan dan sekarang ini memiliki sebuah sekolah muzik Papier Mache Music House and Education, di Pekan Tuaran dimana anggota Papier Mache yang berkelulusan sama ada daripada kolej, akademi mahupun institusi pengajian tinggi dalam bidang muzik menjadi tenaga pengajar.
Selanjutnya mengenai pertandingan JLD Sabtu ini, Papier Mache yang akan membawakan lagu “Matai-Patai Do Masi”, memberitahu mereka telah bersedia sepenuhnya untuk pertandingan itu.
Lagu yang mereka bawakan juga merupakan satu daripada tiga lagu Papier Mache yang disiarkan menerusi Muzik Aktif Astro saluran 180, tahun lalu.
“Bukan semata-mata untuk menang sebaliknya menimba pengalaman sebaik-baiknya di samping harapan kehadiran Papier Mache dalam industri hiburan lebih disedari oleh para peminat seni hiburan tanah air,” kata Cyril bagi pihak kumpulannya.
“Pengalaman yang kami lalui bersama akan kami jadikan sandaran untuk mempersembahkan yang terbaik pada malam itu nanti,” tambahnya lagi.
Dalam pertandingan final itu kelak, Papier Mache yang mewakili Daerah Tamparuli menampilkan sembilan ahli termasuk dua penyanyi latar menjadikan kumpulan itu antara peserta yang mampu memberikan saingan berbeza daripada peserta perseorangan.
Perserta lain yang turut berentap di pentas yang sama ialah Francis Landong, Jovell, Donna Masidah, Wilson Lion, Ridah Malanjang, Angat, Florieand Khoming, Esther Subin dan Ronn.
Kesemua peserta dicalonkan selepas lagu masing-masing menjadi antara lagu pilihan dalam carta JLD yang disiarkan di Sabah VFM antara tahun 2009 dan 2010.
Sebanyak enam kategori menjadi rebutan semua peserta, iaitu gelaran Lagu Dusun Paling Popular, Artis Paling Popular (menerusi undian SMS), Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik, Komposer Terbaik dan Penulis Lirik Terbaik.
Di samping itu, penghantar SMS paling banyak bagi kategori Lagu Paling Popular dalam kalangan penonton dan pendengar pula akan mendapat hadiah berupa wang tunai RM500.
Malam pertandingan itu juga bakal diserikan dengan penampilan beberapa artis tempatan antaranya Clarice John Matha, Benn Simon Bukag dan kumpulan pelawak Bili Bili Do.
“Kami mengharapkan peminat-peminat lagu ‘Matai Patai Do Masi’ terutamanya kawan-kawan, sahabat handai taulan dan keluarga terus memberikan sokongan mereka terhadap kami dengan mengundi Papier Mache,” ujar Cyril.
0 comments:
Post a Comment