|
Photo fro BH Online. |
KUALA LUMPUR: Pelan Pemulihan Negara (PPN) dirangka seiring dengan usaha kerajaan meningkatkan pemberian vaksin COVID-19 kepada rakyat yang akan menjadi rujukan operasi kepada sektor sosial, ekonomi dan pendidikan.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) adalah indikator penting kepada fasa pemulihan yang dirangka.
Bagaimanapun katanya, cabaran besar dalam fasa pemulihan adalah keupayaan negara memperoleh bekalan vaksin yang mencukupi dan usaha sedang digandakan bagi menjamin bekalannya sentiasa stabil.
"Ada yang bertanya kenapa baru mahu umum (pelan pemulihan) seolah-olah kita tiada perancangan. Tidak begitu. Pelan Pemulihan Negara adalah satu jalan keluar dan perkara utamanya adalah vaksinasi. Apabila bekalan vaksin agak stabil dan meningkat, maka kita lihat Pelan Pemulihan Negara diumumkan tepat pada masanya.
Photo from: BH
"Kita lihat dalam keadaan negara mahu keluar dari pandemik COVID-19, pelbagai pendekatan kita buat.
"Salah satu pendekatan ampuh adalah vaksinasi dan bekalan diterima sekarang semakin meningkat. Dengan adanya bekalan ini, ditambah kawalan pergerakan yang sedang berjalan, kita akan dapat lalui tempoh sukar ini," katanya ketika wawancara khas bersama media berkenaan Pelan Pemulihan Negara hari ini.
Beliau berkata, kekangan memperoleh bekalan vaksin sebelum ini bukan hanya dilalui Malaysia, malah banyak negara lain memandangkan dunia berdepan dengan isu pembelian monopoli oleh negara maju selain keupayaan syarikat pembekal itu sendiri untuk memenuhi permintaan antarabangsa.
Radzi menjelaskan, sektor pendidikan antara paling terkesan dengan pandemik sejak tahun lalu lagi, oleh kerana itu usaha sedang digiatkan supaya pemberian vaksinasi kepada sektor ini mesti dimulakan bagi memastikan sesi persekolahan jika dibuka kelak, kembali lancar dengan aspek keselamatan pelajar sentiasa menjadi pertimbangan utama Kementerian Pendidikan (KPM).
Katanya, setakat ini, seramai 148,580 guru atau mewakili 36 peratus daripada jumlah keseluruhan warga pendidik sudah divaksin dan KPM amat berharap jumlah ini dapat digandakan dari masa ke semasa.
"Apabila kita sentuh isu vaksinasi, pokoknya adalah bekalannya. Kalau boleh kita mahu semua divaksin segera. Semalam kalau boleh kita selesaikan. Namun kita akui, dalam tempoh ini, perlu didahulukan dulu murid kelas peperiksaan. Kita mahu mereka dapat vaksin dulu dan boleh kembali ke sekolah sebab kementerian mahu proses pembelajaran secara bersemuka dapat berjalan dengan baik.
Apabila dibuka (sekolah), ia masih tertakluk kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN). Di bawah pelan pemulihan, dijangka persekolahan akan bermula fasa ketiga. Namun bagi murid kelas peperiksaan, kita mohon pertimbangan untuk dibenarkan lebih awal. Untuk itu, kita mohon CITF (Badan Bertindak Imunisasi COVID-19) vaksinkan pelajar ini dulu, termasuk murid dan gurunya.
"Setakat ini, responnya baik. Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) akan meneliti bagaimana kaedah pemberiannya. Di peringkat kementerian, apa saja keperluan dan bantuan, termasuk jika mahu guna ruang sekolah dan sebagainya, kita akan bantu untuk laksana vaksinasi kepada anak-anak ini," katanya.
Ditanya pemberian vaksin bagi pelajar bukan kelas peperiksaan, Radzi berkata, tempoh masa bila mereka akan mula diberi suntikan sukar ditentukan memandangkan urusan berkaitan bekalan vaksin ini adalah di bawah bidang kuasa JKJAV dan CITF.
"Apa yang kita sedang laksanakan adalah menyusun keutamaan dulu. Semua perlu faham antara cabaran utama dalam proses vaksinasi adalah bekalan kerana ia di luar kawalan bukan saja kementerian tapi kerajaan.
"Kementerian memahami perkara berkaitan bekalan dalam melihat keadaan semasa.
"Dalam konteks ini, selepas diumumkan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), vaksin Pfizer-BioNTech adalah diberi keutamaan kepada kelas peperiksaan dan yang lain kita sedang teliti lagi. Kita selesaikan kumpulan ini dulu dan ini juga tertakluk kepada bila anak-anak ini boleh dibenarkan kembali ke sekolah.
Adapted from Berita Harian, Bernama.
For Information Purpose Only.